ULAMA sepakat menetapkan bahawa hukum berselawat kepada Nabi Muhammad saw adalah wajib. Bagaimanapun, mereka tidak sekata waktu wajib berselawat dan berapakah kadar bilangan selawat.
Antara perselisihan waktu berselawat di kalangan ulama itu adalah:
Wajib berselawat ketika mengerjakan sembahyang.
Wajib berselawat ketika membaca Tasyahud (Tahyyat).
Wajib berselawat ketika membaca Tasyahud akhir selepas membaca dua kalimah syahadah.
Dalam seumur hidup cukuplah satu kali berselawat untuk menunaikan hukum wajibnya. Selebih daripada itu hukumnya adalah amalan sunat yang amat digalakkan Islam.
Wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad atau ganti namanya atau punpangkat kenabian juga pangkat kerasulan Baginda.
Itu adalah pendapat sebahagian besar penyokong Mazhab Maliki, Hanafi, Syafie dan Hambali.
Mereka berpendapat, sesiapa yang tidak berselawat pada masa-masa disebutkan itu, maka dia dikira melakukan dosa besar.
Mereka berhujah bahawa Rasulullah memberi amaran kepada sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda.
Diriwayatkan dalam hadis itu, apabila disebutkan nama Baginda, maka sesiapa yang tidak berselawat adalah orang yang paling kedekut. Manusia jenis ini juga akan mendapat kehinaan yang memalukan.
Dia juga termasuk kalangan yang beroleh kesusahan, dijauhkan daripada rahmat Allah dan ahli neraka.
Hadis ini berdasarkan beberapa riwayat daripada Abu Zar al-Ghifari, Abu Hurairah. Begitu juga diterangkan melalui riwayat at-Tabari dan Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad.
Masa yang dituntut berselawat.
Rasulullah sentiasa mahukan umatnya memperoleh kebaikan termasuk melalui faedah berselawat kepada Baginda.
Oleh itu, banyak hadis yang menggalakkan umat Islam meluangkan seberapa banyak masa untuk berselawat.
Antaranya digalakkan berselawat setiap malam Jumaat dan sepanjang hari itu. Hal ini kerana, Jumaat adalah hari raya kebesaran bagi umat Islam.
Berkenaan dengan waktu paling afdal berselawat, ulama menjelaskan beberapa hari dituntut melakukan ibadat itu antaranya:
Selepas selesai menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan yang baik dan pada masa meninggalkan tempat itu.
Ketika berdoa iaitu pada permulaannya, pertengahannya dan pada penghabisannya. Malah, ada hadis yang menyatakan bahawa doa tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepada Nabi Muhammad.
Sebaik selesai mengambil wuduk iaitu antara tasyahudnya dan membaca doa.
Ketika masuk ke masjid dan ketika keluar darinya. Selepas berselawat elok ditambah dengan berdoa (sewaktu masuk): Ya Allah, ampunkan dosaku dan bukakan kepadaku pintu-pintu hikmatmu. Apabila keluar dengan doa: Ya Allah, ampunkan dosaku dan bukakan kepadaku pintu-pintu kelebihanmu.
Ketika telinga berdesing iaitu dengan berkata: Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah, Allah berselawat dan mengucapkan salam ke atas Baginda. Sesungguhnya akan diingati Allah sesiapa yang sentiasa mengingati-Nya dengan kebaikan.
Ketika seseorang lupa terhadap sesuatu perkara. Mengenai hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berbuat demikian diberikannya kemudahan mengingati perkara itu insya-Allah.
Selain berselawat dengan menyebut perkataan selawat seperti yang disebut ketika tahiyyat dalam solat, disunatkan juga berselawat menggunakan kata-kata yang paling beradab sopan.
Maknanya dengan berselawat dapat menzahirkan kesempurnaan sifat kemuliaan Nabi Muhammad SAW dan keagungan darjat kehormatan serta kebaikan jasa dan budi Rasulullah.
Bagaimanapun, sebaik-baiknya, berselawat dengan mana-mana satu cara seperti diterangkan dalam hadis dan disepakati oleh ulama.
Paling afdal, setiap umat Islam wajar berselawat seperti seseorang berselawat ketika tahiyyat dalam solat.
Petikan Mastika Hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia |